Malu
selalunya menjadi kalungan mutiara yang menghiasi diri kaum hawa. Malah malu
juga merupakan salah satu cabang daripada cabang-cabang iman. Benarlah
kata-kata Sayidatina Aisyah r.a.: “sekiranya seorang lelaki itu memiliki sifat
malu nescaya dia seorang lelaki yang soleh dan sekiranya seorang lelaki itu
memiliki sifat keji nescaya dia seorang yang jahat.” Begitu jualah hadith ini
ditujukan kepada wanita mukminah.
Seorang
wanita yang mempunyai sifat malu akan menjaga dirinya sebaik mungkin. Menjaga
kehormatan dan maruah diri, menjaga penampilan, menjaga pergaulan dan
peribadinya. Kerana sifat malu adalah perasaan yang dapat membenteng
seseorang daripada melakukan perkara
yang dapat menghancurkan dan memusnahkan maruah diri dan agamanya.
Sifat
malu itu akan memperlihatkan kemanisan dan ketinggian akidah seseorang wanita.
Ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Sesungguhnya
bagi setiap agama itu adalah akhlak, dan akhlak Islam ialah malu.” Malah, malu
juga dapat memelihara diri wanita itu sendiri daripada kehinaan dan kemusnahan
peribadi. Dan paling penting, sifat malu dapat menguatkan diri kita sebagai
seorang mukmin kerana malu dan iman harus bergerak seiring.
"Malumu mahkota yang tak perlukan singgahsana
Tetapi ia berkuasa menjaga diri dan agama
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerahkan diri"
-Puteriku Sayang nyanyian Hijjaz-
Wahai
saudariku, ingatlah kita ini diperhatikan hakikatnya.
Diperhatikan
oleh Allah dan para malaikat untuk dinilai buat tuaian ladang akhirat.
Diperhatikan
oleh manusia untuk dicontohi. Diperhatikan juga oleh musuh untuk dipergunakan.
Saudariku,
malu adalah kunci segala kebaikan. Maka, tanamlah sifat malu itu dalam dirimu.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Malu dan amanah adalah perkara yang
mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk
kedua-duanya" [Riwayat Bukhari]


No comments:
Post a Comment